Pengertian dan Jenis-jenis Mahar/Mas Kahwin
Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah
mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah
dan al-‘aqd. Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang
wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.
Mas
kahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya
dengan sebab perkahwinan. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
" Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' - Ayat 4 )
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Riwayat Bukhari ).
Mahar Mengikut Negeri
Perundangan
syariah di negara kita adalah di bawah bidang kuasa setiap sultan di
setiap negeri seperti yang telah diperuntukan oleh Perlembagaan
Persekutuan. Ini juga bermakna bahawa perkara-perkara yang berdasarkan
perkahwinan adalah berlainan di antara negeri-negeri di Malaysia. Oleh
itu anda akan mendapati bahawa wang mahar yang ditetapkan di setiap
negeri adalah berlainan.
Perbezaan Mas Kahwin dan hantaran
Tterdapat
perbezaan di antara mas kahwin dan hantaran. Mas kahwin merupakan
pemberian wajib, tetapi hantaran lebih merupakan hadiah kepada pihak
isteri.
Hantaran adalah tidak wajib dan terpulang kepada pasangan
untuk menentukan kadarnya. Tiada kadar minimum hantaran yang ditetapkan
oleh pihak kerajaan. Ini berlainan dengan mas kahwin.
Pada
keseluruhannya dalam adat Melayu wang hantaran merupakan bantuan bagi
pihak isteri untuk belanja kahwin. Ia bertujuan mengurangkan beban
isteri dan keluarga isteri dalam membuat persiapan majlis perkahwinan.
Ia juga boleh dianggap sebagai hadiah kepada isteri yang kini
bakal menjadi pasangannya. Sekiranya wang hantaran telah diserahkan
kepada pihak isteri, maka terpulang kepada isteri untuk
membelanjakannya.
Mahar Tanda Kasih sayang
Pemberian mahar suami sebagai lambang kesungguhan suami terhadap
isteri. Selain itu ianya mencerminkan kasih sayang dan kesediaan suami
hidup bersama isteri serta sanggup berkorban demi kesejahteraan rumah
tangga dan keluarga. Ia juga merupakan penghormatan seorang suami
terhadap isteri.
Pemberian Mahar
Memberi mahar kepada isteri hukumnya wajib.
Menurut Abu Hanifah, isteri berhak mendapat mahar apabila akad nikahnya
sah. Manakala dalam mazhab Syafi’e pula diwajibkan mahar bukan
disebabkan akad nikah yang sah sahaja tetapi juga dengan persetubuhan.
Sekiranya akad nikah tersebut fasid ( tidak sah ), suami tidak wajib
memberi mahar kepada isteri melainkan setelah berlakunya persetubuhan.
Kadar Mahar
Islam tidak menetapkan kadar serta had yang paling
maksima dan minima dalam menentukan mahar bagi seseorang wanita. Ianya
bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat
dan masyarakat. Sungguh pun demikian, Islam menganjurkan agar kita
mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan mahar terlalu tinggi dan
tidak pula terlalu rendah.
Mas kahwin itu tidak dihadkan oleh syarak
banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu
terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan
taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan
mas kahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak
lelaki.
Jenis Mahar
a)
Mahar Musamma. Mas kahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui
oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai mas
kahwin saudara-saudara perempuan yang lain.
Mahar yang disebut
dengan jelas jumlah dan jenisnya dalam suatu akad nikah seperti yang
diamalkan dalam perkahwinan masyarakat kita pada hari ini. Ulama’ telah
bersepakat bahawa mahar musamma wajib dibayar oleh suami apabila berlaku
salah satu daripada perkara-perkara berikut :-
1) Berlakunya persetubuhan di antara suami isteri.
2) Kematian salah seorang di antara mereka sama ada suami atau isteri.
b. Mahar Misil ( mahar yang sepadan )
Mahar yang dinilai
mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih
dahulu. Ia juga hendaklah dinilai sama dengan mas kahwin keluarganya
yang paling dekat sekali seperti kakak, ibu saudaranya. Seterusnya
menilaikan keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan,
pelajaran dan sebagainya.
Mahar yang tidak disebut jumlah dan
jenisnya dalam suatu akad nikah, sekiranya berlaku keadaan ini, mahar
tersebut hendaklah diqiaskan ( disamakan ) dengan mahar perempuan yang
setaraf dengannya di kalangan keluarganya sendiri seperti adik beradik
perempuan seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Sekiranya tiada,
maka diqiaskan pula dengan mahar perempuan-perempuan lain yang setaraf
dengannya dari segi kedudukan dalam masyarakat dan sekiranya tiada juga,
terpulang kepada suami berdasarkan kepada adat dan tradisi setempat.
Selain daripada itu terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil
kira dalam menentukan mahar misil iaitu dari sudut rupa paras, kekayaan,
keadaan setempat, keagamaan , ketakwaan, keilmuan, kecerdasan fikiran ,
keluhuran budi serta status perempuan tersebut sama ada gadis atau
janda dan perkara-perkara yang boleh dijadikan penilaian. Ini kerana
kadar mahar berbeza dengan berbezanya sifat-sifat di atas.
Mendapat Separuh Mahar Atau Tidak Berhak Mendapat Langsung
Sebagaimana
yang kita sedia maklumi , apabila berlakunya suatu akad nikah yang sah,
maka wajib bagi suami membayar mahar kepada isteri sama ada berupa
mahar musamma atau pun mahar misil kerana ia merupakan hak isteri.
Walau bagaimanapun terdapat keadaan yang menyebabkan isteri hanya
berhak mendapat separuh sahaja daripada mahar tersebut atau pun tidak
mendapat apa-apa mahar langsung daripada suami iaitu :-
a) Isteri hanya mendapat separuh sahaja daripada mahar apabila berlakunya perceraian sebelum persetubuhan.
b) Isteri tidak berhak langsung untuk mendapat pemberian mahar daripada
suami apabila berlakunya perceraian disebabkan fasakh ( dari pihak
isteri ) sebelum berlakunya persetubuhan.
Kesimpulan
Mahar adalah hak isteri yang diberikan oleh suami dengan hati yang
tulus ikhlas tanpa mengharapkan balasan sebagai pernyataan kasih sayang
dan tanggungjawab suami atas kesejahteraan rumah tangga. Ianya bertujuan
untuk menggembirakan dan menyenangkan hati isteri agar isteri merasa
dihargai dan bersedia untuk menjalani kehidupan bersama suami.
Sebenarnya
mas kahwin bukan harga bagi wanita atau isteri tetapi pemberian yang
selayaknya diberikan oleh suami sebagai tanda dia rela mengambil
tanggungjawab menjaganya. Kalaulah wanita itu hendak dinilai dengan
harga dan perlu ditawarkan dengan mas kahwin, sudah tentu tidak ternilai
dengan wang,
Rujukan:Jabatan Agama Islam
Monday, 21 April 2014
Pengertian dan Jenis-jenis Mahar/Mas Kahwin
06:33
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment